Tuesday 17 January 2012

Tunjang Kurikulum Standard Sekolah Rendah

Standard Kurikulum Bahasa Malaysia dibina berasaskan enam tunjang, iaitu Komunikasi; Kerohanian, Sikap dan Nilai; Kemanusiaan; Literasi Sains dan Teknologi; Fizikal dan Estetika; dan Keterampilan Diri.  Enam tunjang tersebut merupakan domain  utama yang  menyokong antara satu sama lain dan disepadukan dengan pemikiran kritis, kreatif dan inovatif. Kesepaduan ini bertujuan untuk  membangunkan  modal insan yang seimbang, berpengetahuan dan berketerampilan seperti

1.    Komunikasi
·  Penggabungjalinan kemahiran bahasa secara lisan dan bukan lisan semasa berinteraksi.

2.    Kerohanian, sikap dan nilai
·         Penghayatan amalan agama, kepercayaan, sikap dan nilai.

3.    Kemanusiaan 
·  Penguasaan ilmu dan amalan tentang kemasyarakatan dan alam sekitar   setempat, negara dan global.

4.    Keterampilan diri
·        Pemupukan kepimpinan dan sahsiah diri melalui aktiviti kurikulum / kokurikulum     

5.    Perkembangan fizikal dan estetika

·         Perkembangan jasmani dan kesihatan untuk kesejahteraan diri.
·         Pemupukan daya imaginasi, kreativiti, bakat dan apresiasi.

6.    Sains dan teknologi
·         Penguasaan pengetahuan sains, kemahiran dan sikap saintifik.
·         Penguasaan pengetahuan dan kemahiran matematik.
·         Penguasaan pengetahuan dan kemahiran berasaskan teknologi.

Tuesday 10 January 2012

Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu Berbantukan Komputer

PENGENALAN

Faharol Razi (1998) menyatakan istilah Komputer Dalam Pengajaran dan Pembelajaran diambil daripada istilah asalnya dalam Bahasa Inggeris iaitu Computer-Based Instruction (CBI) yang bermaksud pengajaran terancang berasaskan komputer. Criswell (1989) pula mendefinisikan Pengajaran dan Pembelajaran Berbantukan Komputer (PPBK) sebagai penggunaan komputer dalam menyampaikan bahan pengajaran dan melibatkan pelajar secara aktif serta membolehkan maklum balas

          Pada tahun 1995, Kementerian Pendidikan telah memperkenalkan program Komputer Dalam Pendidikan dengan memberi penekanan kepada empat mata pelajaran utama iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik. Justeru itu, guru-guru mata pelajaran berkenaan dilatih menggunakan komputer dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, mata pelajaran Literasi Komputer juga diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan pada tahun 1996 sebagai salah satu langkah mengaplikasikan teknologi komputer dalam pendidikan (Zakaria Ahmad, 2003).

        Kemantapan dan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran menggunakan teknologi maklumat bergantung kepada keupayaan dan kebolehan yang ada pada guru-guru dan pelajar-pelajar yang terlibat. Justeru itu, satu kajian perlu dijalankan bagi mengetahui tahap penerimaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran dan faktor-faktor yang mempengaruhinya dalam kalangan guru-guru.